CHE
APABILa membincangkan mengenai peranan reka bentuk instruksi dalam menghasilkan suatu pembelajaran yang lebih berkesan, ianya amat berkait rapat dengan teori-teori pembelajaran. Ini memandangkan strategi atau kaedah pengajaran yang terdapat di dalam sesuatu reka bentuk instruksi biasanya adalah berdasarkan kepada teori-teori ini. Bednar, et al. (1992). menyokong pernyataan ini dengan menyatakan bahawa proses mereka bentuk dan membangunkan sesuatu bahan pembelajaran sama ada yang berbentuk konvensional ataupun yang memanfaatkan teknologi moden dan terkini seharusnya berasaskan kepada teori-teori pembelajaran. Menurut mereka lagi, sesuatu bahan pembelajaran yang efektif hanya akan berjaya dihasilkan sekiranya seseorang pereka bentuk telah mengambil kira asas dalam teori pembelajaran di dalam reka bentuknya.

Teori Pembelajaran Sepintas Lalu

Teori pembelajaran secara amnya merupakan satu teori yang memfokuskan kepada penerangan dan penjelasan bagaimana proses pembelajaran itu berlaku di dalam diri seseorang. Dengan lain perkataan ia menjelaskan bagaimana proses sesuatu perubahan tingkah laku itu boleh berlaku di dalam diri seseorang. Teori pembelajaran juga menyediakan asas bagi strategi umum yang boleh digunakan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Ini dilaksanakan dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar (Wagner, 1994). Terdapat pelbagai teori pembelajaran yang ada, bermula daripada teori tingkah laku (behavorisma) kepada teori pemprosesan maklumat atau teori kognitif dan seterusnya teori faham binaan (konstruktivisme) dan teori neurosains. Mengikut fahaman ahli psikologi teori behaviorisme, pembelajaran merupakan satu proses perubahan tingkah laku yang berlaku pada seseorang. Ada juga yang berpendapat bahawa pembelajaran merupakan keupayaan seseorang untuk berubah dari tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan kepada boleh melakukannya. Pembelajaran juga boleh dikatakan sebagai satu keputusan daripada pengalaman atau interaksi dengan persekitaran yang akan meningkatkan tahap ketahanan seseorang dalam menempuh kehidupan. Teori kognitif pula merupakan antara teori yang paling banyak membincangkan mengenai bagaimana seseorang individu itu belajar dan apakah yang berlaku sebenarnya di dalam minda semasa melalui proses pembelajaran. Teori ini seterusnya berkembang kepada teori konstruktivisme apabila suasana pembelajaran dan isu persekitaran pelajar turut diambil kira dengan lebih mendalam. Kebanyakan teori-teori pembelajaran kognitif terkini mendakwa bahawa pembelajaran dikatakan berlaku bukan sematamata menerusi proses menerima maklumat sahaja tetapi sebaliknya menerusi proses menterjemah, mengguna dan memperkembangkan semula maklumat yang diperolehi secara berkesan. Pembelajaran berkesan juga dikatakan amat bergantung kepada proses dalaman yang berlaku di dalam diri pelajar (Resnick, 1989). Apabila terdapatnya perubahan perspektif mengenai proses pembelajaran daripada teori behaviorisme kepada teori kognitif dan seterusnya teori konstruktivisme, ramai penyelidik mula berminat terhadap proses kognitif serta kesannya terhadap pembinaan pengetahuan. Ramai ahli psikologi yang berpegang kepada teori kognitif dan konstruktivisme percaya

bahawa proses pembelajaran tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti pembelajaran dan konteks di mana ianya perlu atau boleh digunakan semasa menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan sebenar (Bednar et al.,1992)

Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi

Berdasarkan perhubungan di antara pembelajaran dan teori pembelajaran, dapatlah dilihat betapa pentingnya bagi para pendidik atau pereka bentuk instruksi untuk mendalami serta mengikuti perkembangan teori-teori pembelajaran yang utama. Ini bagi membolehkan mereka merancang atau melaksanakan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan dan menepati keperluan pelajar dan juga keperluan semasa. Teori pembelajaran juga perlu diberi perhatian di dalam proses menyedia atau membangunkan bahan atau media pembelajaran itu sendiri. Sesuatu bahan pembelajaran akan lebih berkesan dan berkualiti khususnya dari aspek kualiti pembelajaran sekiranya proses bagaimana seseorang pelajar itu belajar diambil kira. Pembangunan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi terkini seperti perisian kursus multimedia atau pun halaman web juga sewajarnya turut mengambil kira peranan teori pembelajaran di dalam proses pembangunannya. Pendapat ini disokong oleh Clark (1998) yang menyatakan bahawa keberkesanan sesuatu proses pembelajaran tidak bergantung sepenuhnya kepada jenis media yang

digunakan. Ia sebenarnya bergantung kepada kaedah pembelajaran yang dipilih dan diaplikasikan menerusi media tersebut dan kaedah pembelajaran di sini amat berkait rapat dengan teori pembelajaran yang menyokongnya.

Perhubungan di antara Teori Pembelajaran dengan

Reka bentuk Aplikasi Multimedia

Di dalam mereka bentuk bahan atau media pembelajaran, pelbagai aspek perlu diambil kira agar ianya menepati keperluan pelajar serta mampu memenuhi kehendak pembelajaran. Memandangkan bahan pembelajaran yang akan dibina merupakan suatu sumber yang akan digunakan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka penggunaan teori pembelajaran sebagai panduan dalam mereka bentuk bahan tersebut perlu diambil kira dengan mendalam. Proses mereka bentuk bahan pembelajaran berasaskan teknologi terkini seperti perisian multimedia ataupun halaman web juga tidak terlepas dari peraturan ini. Pada peringkat permulaan, penggunaan komputer dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran adalah berdasarkan kepada teori-teori pembelajaran yang dikeluarkan oleh ahli-ahli psikologi behaviorisme seperti B.F. Skinner dan Pavlov. Pada masa itu komputer digunakan untuk membekalkan satu proses pembelajaran yang berbentuk latih tubi ke atas isi pelajaran yang telah dipelajari oleh pelajar sebelum ini. Bentuk pembelajaran latih tubi ini adalah berdasarkan konsep perkaitan antara stimulus dan respons yang hangat diperjuangkan oleh ahli-ahli psikologi teori Multimedia dalam Pendidikan behaviorisme. Interaksi berbentuk stimulus-respons iaitu antara di pelajar dan teknologi merupakan satu paradigma yang dominan pada peringkat permulaan (Becker dan Hativa, 1994). Dengan lain perkataan, pembinaan perisian multimedia atau halaman web pembelajaran pada peringkat awal adalah lebih memfokuskan kepada perhubungan antara stimulus dan respons untuk memastikan sesuatu proses pembelajaran itu berlaku. Kebanyakan media pembelajaran yang berorientasikan pendekatan tradisi juga hanya memberikan penekanan kepada fakta ingat-balik berbanding dengan penggunaan media tersebut untuk membentuk kemahiran berfikir pada aras yang lebih tinggi seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan pemikiran kritikal. Penggunaan komputer untuk kebanyakan mata pelajaran adalah bagi tujuan pemulihan dan pengayaan dan bukannya sebagai satu cara di mana pelajar boleh menggunakannya untuk berfikir dan mencapai pembelajaran dan pemahaman yang lebih berkualiti (Abtar Kaur,1999). Peredaran masa seterusnya memperlihatkan bahawa ahli-ahli psikologi pada masa kini tidak lagi begitu memandang serius tentang proses pengajaran yang hanya mengambil kira hubungan antara stimulus dan respons sahaja. Mereka turut mempertekankan kepada kemampuan teknologi itu sendiri dalam menjadikan proses pembelajaran sebagai satu tanggungjawab kepada pelajar dan bukannya lagi menjadi tanggungjawab kepada pendidik sahaja. Mereka mengatakan bahawa penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran perlu dipertingkatkan agar kemahiran-kemahiran kognitif aras tinggi dapat dibentuk (Becker dan Hativa, 1994). Pernyataan ini disokong oleh Ryan (1991) yang menyatakan bahawa kaedah mengintegrasikan teknologi komputer ke dalam persekitaran pembelajaran agar ianya mampu dimanfaatkan secara optima serta meningkatkan kualiti pembelajaran merupakan satu cabaran kepada para pendidik masa kini. Berdasarkan cabaran tersebut, bentuk pengajaran yang berpusatkan pelajar serta pendekatan yang dicadangkan oleh teori konstruktivisme menjadi pegangan yang utama dalam mereka bentuk bahan pembelajaran mahupun menentukan proses pembelajaran pada masa kini termasuklah di dalam pembangunan perisian multimedia pendidikan dan juga halaman web pembelajaran. Teori kognitif fleksibel, iaitu salah satu cabang di dalam teori konstruktivisme pula merupakan antara pilihan yang semakin mendapat tempat bagi menangani persekitaran pembelajaran bagi domain ilmu yang kompleks (Spiro et al., 1991).

Implikasi Teori-teori Pembelajaran dalam Reka

bentuk Perisian Multimedia Pendidikan

Berikutnya dibincangkan sebahagian daripada teori-teori pembelajaran utama yang memberikan implikasi yang besar dalam proses mereka bentuk sesebuah perisian kursus multimedia khususnya bagi tujuan pendidikan.

Teori Tingkah laku (Behaviorisma)

Teori Tingkahlaku atau Behaviorisme merupakan antara teori pembelajaran yang tertua sekali di dalam dunia pendidikan. Di antara ahli-ahli psikologi yang tergolong di dalam teori ini ialah Skinner, Pavlov, Watson, Thorndike dan Bandura. Menurut ahli-ahli psikologi teori tingkahlaku, pembelajaran dikatakan berlaku apabila terdapat perubahan tingkahlaku dalam diri seseorang. Perubahan tingkahlaku yang dimaksudkan di sini ialah perubahan tingkahlaku daripada tidak tahu melakukan sesuatu perkara kepada tahu melakukannya. Pengertian pembelajaran oleh ahli psikologi teori tingkahlaku ini memberikan implikasi yang mendalam ke atas penulisan objektif pengajaran yang dibuat oleh guru di mana penggunaan perkataan yang boleh melambangkan perubahan tingkahlaku yang boleh diukur mesti digunakan di dalam penulisan objektif. Pengertian ini juga turut mempengaruhi penulisan objektif perisian multimedia kerana kaedah penulisan objektif bagi sesuatu persediaan mengajar adalah lebih kurang sama dengan penulisan objektif sesuatu perisian multimedia. Skinner telah memperkenalkan kaedah pengajaran terancang dalam kerangka Rangsangan-Tindakbalas atau Stimulus-Respons. Menurut beliau setiap rangsangan (R) yang diberi ke atas seseorang akan menyebabkan orang tersebut akan menghasilkan tindakbalas (T) ke atas rangsangan yang diberi. Beliau berpendapat pembelajaran sebenar boleh berlaku dalam kerangka R-T. Dengan itu guru yang mengajar seharusnya memberi sebanyak mungkin rangsangan kepada pelajar, agar pelajar memberikan tindakbalas ke atas rangsangan-rangsangan yang diberikan. Sekiranya ini dapat dilakukan, pembelajaran akan berlaku di kalangan pelajar tersebut. Konsep Pengajaran Terancang yang diperkenalkan oleh Skinner ini boleh diaplikasikan di dalam proses mereka bentuk sesuatu perisian multimedia khususnya yang akan digunakan bagi tujuan pendidikan. Strategi pengajaran yang berbentuk latih tubi boleh digunakan untuk mencerminkan konsep pengajaran terancang ini. Di samping itu, penyampaian isi pelajaran dalam kerangka Soalan-Jawapan juga boleh dilaksanakan. Secara ringkasnya bentuk penyampaian isi pelajaran anda akan kelihatan seperti rajah berikutnya :

Isi pelajaran 1 Soalan 1 Jawapan 1

Rangsangan Rangsangan Maklumbalas

Rajah 5.1 : Konsep pengajaran terancang oleh Skinner

Ahli psikologi teori tingkahlaku juga mempertekankan kepentingan konsep pemberian respons yang positif dan negatif ke atas tindakbalas yang diberi oleh pelajar di dalam proses pembelajaran. Menurut mereka respons positif yang diberi ke atas tindakbalas yang dikehendaki boleh mengukuhkan lagi kefahaman pelajar serta membolehkan penghasilan tindakbalas yang sama berlaku berulang kali. Ahli psikologi tingkahlaku juga menitikberatkan pemberian motivasi di dalam pengajaran di mana mereka berpendapat motivasi dapat mempertingkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran. Skinner mengambil kira motivasi sebagai satu unsur yang penting di dalam pembelajaran. Walaupun motivasi yang difokuskan oleh Skinner kebanyakannya berbentuk kebendaan, tetapi beliau tidak menafikan kehadiran motivasi dari segi bukan

kebendaan. Sebenarnya motivasi itu sendiri terbahagi kepada dua jenis iaitu motivasi luaran (motivasi ekstrinsik) dan motivasi dalaman (motivasi intrinsik). Motivasi ekstrinsik merupakan ganjaran yang berbentuk kebendaan seperti hadiah yang akan diberi kepada pelajar yang memberikan tindakbalas yang diingini manakala motivasi intrinsik merupakan ganjaran yang bukan berbentuk kebendaan seperti kata-kata perangsang, pujian dan nasihat. Dari segi kekuatan, motivasi intrinsik memberikan kesan yang berterusan di dalam diri pelajar manakala motivasi ekstrinsik adalah sebaliknya. Memandangkan motivasi intrinsik memberikan kesan yang berterusan, maka adalah baik sekiranya sesuatu pembelajaran itu diselitkan dengan motivasi jenis ini agar pelajar sentiasa berminat untuk belajar. Motivasi intrinsik ini juga boleh dikaitkan dengan keperluan dalaman pelajar di mana pelajar yang tahu akan kepentingan ilmu di dalam hidup akan rajin belajar jika dibandingkan dengan pelajar yang tidak tahu (atau buat-buat tidak tahu). Di dalam pembinaan perisian atau aplikasi multimedia pendidikan, motivasi yang biasanya menjadi perhatian ialah motivasi jenis intrinsik. Pemberian motivasi jenis ini biasanya digunakan di bahagian latihan untuk mempertingkatkan minat pelajar terhadap topik yang diajar. Contoh pujian yang boleh kita gunakan ialah:

“Syabas! Jawapan yang anda beri tepat sekali. Anda memang telah menumpukan perhatian pada isi pelajaran yang di ajar. Teruskan Usaha Anda.”

Dalam memberi pujian, sesuatu perisian yang baik tidak hanya memberi pujian kepada jawapan yang betul sahaja. Bagi jawapan yang salah, respons negatif yang diberi mestilah berbentuk positif sedikit agar pelajar tidak merasa putus asa untuk mencuba menjawab soalan yang lain. Contoh respons negatif yang berbentuk positif:

“Maaf, jawapan yang anda berikan tidak tepat. Jangan putus asa. Cuba lagi. Yakin boleh.”

Janganlah anda menggunakan respons negatif yang boleh menjatuhkan maruah seseorang seperti:

“Bodoh. Jawapan anda macam kanak-kanak tidak cukup umur ”.

Ini adalah kerana, respons negatif yang diberi boleh digunakan sebagai motivasi untuk menaikkan semangat pelajar agar berusaha dengan lebih gigih lagi. Teori tingkah laku merupakan pilihan ramai pereka bentuk aplikasi multimedia pendidikan suatu masa dahulu (dan masih digunakan sehingga ke hari ini). Salah satu kelebihan penggunaan teori ini ialah kebolehannya di dalam menangani pembelajaran peringkat asas dan juga bagi tujuan pembangunan kemahiran. Walau bagaimanapun, peredaran masa memperlihatkan bahawa teori tingkahlaku juga mempunyai pelbagai kelemahan. Ini disebabkan beberapa faktor seperti sifat semulajadi teori itu sendiri yang terlalu menekankan kepada kuasa atau peranan pendidik berbanding pelajar. Apabila prinsip ini digunakan di dalam sesebuah perisian multimedia, peranan pendidik diserahkan kepada perisian multimedia yang dibangunkan dan meninggalkan para pelajar tanpa kuasa kawalan terhadap perisian tersebut yang secukupnya. Ini menyebabkan para pelajar mudah merasa bosan dan kurang motivasi untuk meneruskan pembelajaran menerusi penggunaan perisian tersebut. Selain dari itu, kurangnya perhatian yang diberikan kepada peranan pelajar juga menyebabkan perisian yang menjadikan teori ini sebagai tulang belakang sering kali gagal menangani kepelbagaian pelajar yang sedia wujud. Perisian yang sedemikian juga gagal menangani keadaan pelajar yang datangnya dari pelbagai aras pengetahuan, gaya pembelajaran dan latarbelakang pendidikan. Menerusi pendekatan teori tingkahlaku, pengguna sesebuah perisian multimedia juga tidak mempunyai kuasa kawalan secukupnya terhadap penggunaan media-media yang digunakan dalam proses penyampaian maklumat. Perkara yang sama berlaku terhadap isi kandungan atau maklumat yang ingin dicapai menerusi penggunaan perisian multimedia tersebut. Semuanya telah ditetapkan oleh pereka bentuk atau pembangun perisian multimedia tersebut dan pelajar terpaksa mengikut laluan atau arahan yang telah disediakan untuk mereka.

Teori Pemprosesan Maklumat (Information Processing)

Teori Pemprosesan Maklumat atau Teori Kognitif berkembang dengan pesatnya bermula dari tahun 1970 yang mana fokus utama ianya ialah mengenai bagaimana proses pembelajaran itu berlaku. Ahli-ahli teori ini lebih menitikberatkan proses bagaimana sesuatu kaedah pembelajaran itu berinteraksi dengan aktiviti-aktiviti yang berlaku di dalam mental individu. Dengan yang demikian, mereka mencadangkan agar kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan kaedah simulasi perlu dipraktikkan dengan lebih lagi di dalam proses pembelajaran (Clark, 1998). Salah satu konsep yang menjadi topik perbincangan utama ahli-ahli teori pemprosesan maklumat ialah pengelasan ingatan Teori pemprosesan maklumat telah mengelaskan ingatan kepada tiga

bahagian utama iaitu:

i. Ingatan jangka masa panjang

ii. Ingatan jangka masa pendek

iii. Ingatan deria atau sensor

Pengelasan ingatan seperti yang dinyatakan turut dipertekankan oleh Baddeley (1990) di dalam bukunya yang bertajuk “Human Memory: Theory and Practice”. Ingatan jangka masa panjang merupakan ruang ingatan di mana semua kenangan atau maklumat yang lama disimpan manakala ingatan jangka masa pendek merupakan ruang di mana maklumat diproses sebelum ianya memasuki ruangan ingatan jangka masa panjang. Ingatan deria atau sensory memory pula merupakan bahagian ingatan yang berkaitan dengan segala bentuk input atau penerimaan maklumat dari deria manusia. Mengikut George Miller (1956), dalam satu masa, ingatan jangka masa pendek seseorang manusia boleh mengingati 7 campur tolak 2 (7 + 2) maklumat dalam satu masa. Konsep ini dikenali sebagai “Magical number 7” oleh Miller. Maksudnya di sini, dalam satu masa ingatan jangka masa pendek manusia boleh mengingati 5 hingga 9 perkara. Perkara di sini merujuk kepada nombor, perkataan, langkah-langkah dan juga objek. Secara tidak langsung ini boleh dikaitkan dengan perkara yang wujud dalam kehidupan kita di mana kalau kita lihat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan kita adalah dalam julat 6 hingga 8 nombor. Penetapan nombor ini telah secara tidak langsung adalah merupakan pengaplikasian konsep Miller ini. Di dalam proses mereka bentuk sebuah perisian multimedia yang berbentuk pembelajaran, seharusnya konsep Miller ini digunakan dalam proses penyampaian maklumat kepada pelajar. Seharusnya perisian multimedia pendidikan hanya memaparkan tidak lebih dari sembilan maklumat atau perkara dalam satu masa. Ini bermakna, sekiranya perisian multimedia ingin mengajar pelajar tentang sesuatu konsep, bilangan konsep yang boleh diajar dalam satu masa ialah tidak lebih dari 9 konsep. Ini adalah untuk memastikan konsep-konsep yang disampaikan itu dapat dienkod oleh otak manusia dan seterusnya disimpan dalam ruangan ingatan jangka masa panjang. Ringkasnya, sesebuah perisian multimedia pendidikan yang dihasilkan

berdasarkan prinsip-prinsip teori pemproses maklumat akan mengambil kira tahap kemampuan seseorang pelajar untuk menerima maklumat yang disediakan. Ini bermakna, kuantiti maklumat yang akan disampaikan dalam satu masa akan dikawal agar ianya tidak melebihi muatan ingatan jangka masa pendek seseorang individu.

Teori Faham Binaan (Konstruktivisma)

Teori faham binaan atau konstruktivisme merupakan satu falsafah pembelajaran yang yang berpegang kepada kepercayaan berikut:

“Melalui pengalaman yang ada, pelajar akan membina kefahaman masingmasing mengenai perkara yang berlaku di dalam kehidupan.”

Menurut ahli-ahli teori konstruktivisme, setiap manusia akan menjana prinsip-prinsip kefahaman masing-masing di dalam minda yang dikenali sebagai model minda (mental models) mengikut pengalaman sedia ada. Dengan yang demikian, pembelajaran menurut mereka merupakan proses mengubahsuai model minda supaya ianya dapat disesuaikan dengan pengalaman baru yang akan diterima. Berikut merupakan beberapa prinsip pembelajaran yang dipertekankan di dalam teori konstruktivisme: Pembelajaran merupakan suatu proses mencari makna. Dengan itu pembelajaran haruslah dimulakan dengan isu-isu sekitaran yang maknanya akan dicari oleh pelajar secara aktif. Mencari makna tentang sesuatu perkara memerlukan kefahaman yang menyeluruh dan juga kefahaman bahagian-bahagian yang tertentu. Kefahaman mengenai bahagian-bahagian yang tertentu yang dimaksudkan di sini mestilah difahami dalam konteks yang menyeluruh juga. Dengan itu pembelajaran seharusnya memfokuskan kepada konsepkonsep yang utama dan bukannya sebagai fakta-fakta yang terasing. Untuk mengajar dengan baik, guru atau bahan pembelajaran yang disediakan seharusnya memahami dahulu model minda yang dipunyai oleh seseorang pelajar. Tujuan pembelajaran adalah untuk individu membina kefahaman masingmasing

mengenai sesuatu perkara. Ianya bukanlah merupakan proses menghafal jawapan-jawapan yang betul daripada konsep-konsep yang sedia ada. Beberapa prinsip teori konstruktivisme yang boleh diaplikasikan di dalam pembinaan perisian multimedia pendidikan boleh diringkaskan seperti yang berikutnya: Pengajaran mestilah melibatkan aspek pengalaman dan persekitaran yang boleh menggalakkan pelajar bersedia untuk belajar Pengajaran mesti distrukturkan supaya ianya boleh diterima oleh pelajar Pengajaran hendaklah direka untuk memudahkan ekstrapolasi dan/atau mengisi ruang kosong (menjangkau maklumat yang diberi) yang sedia ada di dalam diri pelajar. Di dalam pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk konstruktivisme, penggunaan masalah-masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian di dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan. Di samping itu penekanan ke atas pencapahan pemikiran juga harus dipraktikkan. Pelajar seharusnya dibimbing oleh guru atau bahan

pembelajaran yang disediakan ke arah memahami sesuatu konsep dari pelbagai perspektif agar pemikiran mereka akan berkembang dan dinamik. Konsep ini mudah untuk disediakan di dalam persekitaran pembelajaran yang memanfaatkan penggunaan teknologi seperti multimedia dan juga halaman web. Teori konstruktivisme juga menyediakan panduan dan juga prinsip yang perlu diberi perhatian semasa membangunkan persekitaran pembelajaran berasaskan penggunaan teknologi. Salah satu panduan utama yang ditetapkan ialah menyediakan persekitaran pembelajaran yang bersifat autentik serta disampaikan dalam konteks yang bermakna (Brown et al.,

1989; Cognition and Technology Group at Vanderbilt, 1992). Dalam hal ini, pelajar akan dipandu untuk terlibat secara aktif di dalam persekitaran pembelajaran yang disediakan bagi menyelesaikan permasalahan yang disediakan. Pembangunan perisian multimedia pendidikan yang berpegang kepada prinsip-prinsip dari teori konstruktivisme juga seharusnya tidak melibatkan pengetahuan ataupun kecerdasan yang memandu serta

menstrukturkan proses pembelajaran Sebaliknya, situasi serta kemudahan lain perlu disediakan bagi merangsang pelajar menggunakan potensi kognitif mereka secara lebih optima (Scardamalia et al., 1989). Satu lagi pengaruh teori konstruktivisme di dalam pembangunan perisian multimedia pendidikan ialah ianya sewajarnya mampu memenuhi keperluan pembelajaran secara individu di samping menyediakan aktiviti sosial. Ini bermakna, persekitaran pembelajaran yang disediakan sewajarnya turut menawarkan kemudahan bagi menggalakkan aktiviti sosial berlaku seperti kemudahan e-mel, forum perbincangan, perkongsian bijak secara elektronik dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membolehkan pelajar bekerja secara kooperatif serta berkongsi idea di samping mencabar pemikiran masing-masing menerusi aktiviti perbincangan. Perisian multimedia pendidikan yang direka bentuk menggunakan teori konstruktivisme juga boleh memanfaatkan penggunaan teknologi multimedia sepenuhnya. Bahan pembelajaran boleh disediakan dalam bentuk yang menggalakkan para pelajar membentuk pengetahuan mereka sendiri dan bukannya ditetapkan oleh pereka bentuk perisian atau bahan pembelajaran tersebut. Teori konstruktivisme juga menekankan kepada proses pembelajaran aktif di kalangan pelajar. Ini dapat disediakan menerusi penggunaan konsep hipermedia di dalam perisian multimedia pendidikan. Reka bentuk perisian yang menggalakkan pelajar meneroka bagi mencari maklumat yang disediakan sedikit sebanyak akan menyebabkan pembelajaran aktif dapat diwujudkan.

Teori Neurosains

Neurosains merupakan satu bidang kajian mengenai sistem saraf yang ada di dalam otak manusia. Ianya juga mengkaji mengenai kesedaran dan kepekaan otak dari segi asas biologi, persepsi, ingatan dan kaitannya dengan pembelajaran. Bagi teori neurosains, sistem saraf dan otak merupakan asas fizikal bagi proses pembelajaran manusia. Neurosains dapat membuat perkaitan di antara pemerhatian terhadap proses kognitif yang berlaku di dalam otak dengan tingkahlaku fizikal yang akan terhasil. Dengan kata lain, setiap maklumat yang diproses oleh otak akan mengaktifkan kawasankawasan yang tertentu sahaja di dalam otak. Teori ini masih baru tetapi ianya

sedang berkembang dengan pesatnya walaupun sering diselang-selikan dengan pelbagai kontroversi. Berikut merupakan di antara beberapa penemuan yang diperolehi oleh teori neurosains:

i. Otak terbahagi kepada tiga struktur yang besar iaitu :

Otak reptilia : mengawal fungsi-fungsi asas deria motor Otak mamalia atau otak limbik : mengawal emosi, ingatan dan ritma biologikal (biorythms) Neokortek atau otak berfikir : mengawal proses penaakulan, bahasa, kepintaran dan kognitif

ii. Otak bukanlah seperti komputer. Struktur ikatan saraf otak sebenarnya adalah longgar, fleksibel, bersarang seperti sarang labah-labah, sentiasa bertindih dan berulang. Dengan itu adalah mustahil sekiranya otak itu dianggap seperti sistem komputer yang linear. Otak sebenarnya merupakan satu sistem yang tersusun dan berfungsi secara kendiri.

iii. Otak sentiasa berubah apabila ia digunakan dan proses ini berlaku sepanjang hidup manusia. Penumpuan minda mengubahsuai struktur fizikal otak manusia. Saraf otak dihubungkan oleh cabangan yang dikenali sebagai “dendrite”. Terdapat lebih kurang 10 juta neuron/saraf di dalam otak manusia. Neuron-neuron yang berkaitan dihubungkan di antara satu sama lain dalam pelbagai corak. Apabila otak digunakan, sebahagian dari corak ikatan antara neuron-neuron akan menjadi kuat. Pembentukan dan pengukuhan ikatan neuron-neuron di dalam otak merupakan proses sebenar yang menggambarkan bagaimana ingatan dibina di dalam otak. Apabila seseorang guru atau pereka bentuk aplikasi multimedia pendidikan mengambil kira teori neurosains dalam proses pengajaran atau pun pembangunan perisian, maka mereka perlulah menyediakan strategi yang memfokuskan kepada pengalaman sebenar yang berlaku di dalam kehidupan manusia. Stategi atau pendekatan pengajaran yang disediakan itu juga haruslah mengintegrasikan idea-idea yang lebih menyeluruh. Selain dari itu, mereka juga perlu menggunakan kaedah pengajaran yang mampu menggalakkan aktiviti pemikiran yang kompleks dan pembentukan minda di kalangan pelajar. Memandangkan teori neurosains ini menggambarkan otak sebagai neuron-neuron yang menyerupai “rhizome” yang bercabang-cabang, maka pengaplikasian konsep peta minda atau peta konsep di dalam perisian multimedia merupakan satu contoh aplikasi neurosains dalam pembelajaran. Dalam erti kata lain, penyampaian maklumat di dalam sesebuah perisian

multimedia pendidikan yang menggunakan teori neurosains seharusnya tidak disampaikan secara linear. Sebaliknya peta minda atau peta konsep boleh digunakan bagi tujuan tersebut. Kajian juga mendapati bahawa proses pengajaran yang menggunakan peta minda atau peta konsep yang mempunyai imej-imej yang berkaitan adalah lebih berkesan dari penggunaan teks semata-mata. Ini dapat dibuktikan menerusi konsep yang dihuraikan di dalam “Dual-code theory” di mana otak akan mengekod imej dahulu dan kemudiannya teks. Pengekodan imej akan menyediakan satu ruangan yang khas untuk pengekodan teks di dalam otak. Apabila ini berlaku, maka proses pengekodan teks akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

Selain dari menggunakan pendekatan peta minda atau peta konsep, penggunaan kaedah pengajaran yang dapat mengaitkan isi pelajaran yang diajar dengan isi pelajaran yang lain merupakan satu contoh pengaplikasian teori neurosains dalam pembangunan aplikasi multimedia pendidikan. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan pautan-pautan yang membolehkan isi pelajaran sokongan dicapai bila-bila masa yang diperlukan oleh pelajar. Kemudahan komunikasi seperti Internet juga boleh dimanfaatkan bagi membolehkan para pelajar mencapai lebih banyak maklumat berkaitan yang diperlukan. Perkaitan isi-isi tersebut seterusnya akan membantu otak

membentuk ikatan-ikatan neuron yang tertentu di dalam otak. Apabila ini terjadi, maka maklumat yang diproses akan dapat disimpan di ruangan ingatan di dalam otak.

Penutup

Proses mereka bentuk sesebuah perisian atau aplikasi multimedia pendidikan bukanlah merupakan satu proses yang mudah dan dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat. Ianya melibatkan pelbagai aktiviti penyelidikan yang perlu dijalankan agar perisian yang dibina dapat menepati keperluan kumpulan sasaran pelajar. Pengetahuan tentang teori-teori pembelajaran dan cara mengaplikasikannya dalam mereka bentuk sesuatu perisian perlu dikuasai terlebih dahulu. Dengan itu adalah wajar sekiranya guru dan ahliahli psikologi pembelajaran terlibat sama dalam proses pembinaan perisian selain dari ahli-ahli teknologi. Dengan lain perkataan, para pendidik dan ahli-ahli psikologi seharusnya berganding bahu dengan ahli-ahli teknologi dalam proses pembinaan perisian agar perisian yang terhasil akan lebih berkualiti dan sesuai untuk kegunaan para pelajar. Tapi sayangnya perkara ini selalunya sukar untuk direalisasikan kerana terdapatnya kumpulankumpulan individu yang mengambil kesempatan untuk meraut keuntungan dengan mengeluarkan sesuatu perisian pembelajaran yang tidak mengambil kira teori pembelajaran dan bagaimana pembelajaran itu berlaku. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar yang menggunakannya. Dengan yang demikian, para pendidik seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka untuk menerajui atau sama-sama terlibat dalam proses pembangunan aplikasi multimedia pendidikan.

Sumber :

Tajuk Buku : Multimedia dalam Pendidikan

Penulis : Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir (UTM)

Tahun Terbit : 2003

Laman web : http://e-media.iwarp.com

Penerbit : PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Laman web : http://www.pts.com.my
1 Response
  1. Anonim Says:

    Teknologi Pembelajaran merupakan program studi yang dirancang khusus pada Beberapa Universitas Negeri/swasta, akibat tuntutan zaman yang mengharuskan Pendidikan Formal tidak lagi mengajar tanpa memberatkan para pendidik dalam menerapkan disiplin ilmunya. namun sebaliknya mempermudah guru/dosen dalam mengajar materi dan mudah di terima oleh peserta didik/ para mahasiswa/i


Posting Komentar